OVA PRODUCTIONS (ENTERPRISE)




Sejarah Ringkas Penubuhan


          Sejarah penubuhan syarikat ini diperingkat awal dibuat oleh individu ahli Arqam sekitar tahun 1983 tanpa apa-apa pendaftaran niaga dengan pihak kerajaan. Bidang usaha ketika itu ialah merakam segala aktiviti ceramah anjuran Darul Arqam dalam bentuk audio. Proses dan operasi ‘dubbing’ pula dibuat melalui rakaman radio ke radio (proses rakaman kaset biasa)

          Pada sekitar tahun 1984 jamaah Arqam melihat perkembangan ini boleh ‘dijamaahkan’ dan boleh ditambah aktivitinya dengan rakaman video, maka pada tahun tersebut segala urusan rakaman kaset dan video telah diletak dibawah Unit Tijarah dengan nama PVA iaitu singkatan Perkhidmatan Video Al Arqam. Kebanyakkan proses rakaman tetakala itu dibuat di Masjid Sri Payang, Genting Highland kerana disana terdapat suara gema / effect yang boleh menghasilkan rakaman bermutu. Antara album yang dihasilkan disana ialah ‘Bacaan Berzanji’ oleh Allahyarham Tuan Haji Salleh bin Abdul Karim.

           Pada tahun 1985 juga unit kaset dan video telah dipertingkatkan, selain aktiviti niaga kaset dan video, PVA juga berperanan dalam penerbitan buku diketuai oleh En.Tajul Arrifin dan En.Ab.Wahab Md.Yusof dengan beribu pejabat di Taman Batu, Gombak. Penukaran nama PVA juga telah dibuat kepada OVA singkatan Odio Video Al Arqam. Ini berlanjutan sehingga tahun 1988.

          Pada 13 April 1989 Odio Video Al Arqam telah didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan dengan pejabat urusannya di Sungai Pencala dibawah pengurusan En.Sokhibul Fadil bin Sabikin dan 2 orang ahli kongsi termasuk En.Gzazali bin Sulaiman dengan En.Azmar bin Ahmad. Beberapa kejayaan awal telah ditempa pada tahun berkenaan seperti pembinaan studio (walaupun menggunakan kadbord), pembelian beberapa peralatan rakaman dan mempunyai rangkaian pemasaran sendiri.

          Tahun 1990 organisasi Odio Video Al Arqam telah bertukar malah nama Odio Video Al Arqam telah ditukar kepada OVA Productions dan telah diletakkan dibawah Syukbah Dakwah yang berperanan menyampaikan masej dakwah melalui media elektonik. Tahun yang sama menyaksikan En.Sokhibul Fadil bin Sabikin dan En.Azmar bin Ahmad telah menarik diri sebagai rakan kongsi mulai 15 Disember 1990.
         
          Walaupun OVA Productions pada masa itu telah mempunyai studio baru dan kelengkapan yang memuaskan serta yang beribu pejabat di Taman Tun Dr Ismail tetapi hakikat keuntungan yang diperolehi tidaklah seberapa kerana kebanyakkan keuntungan disalurkan untuk tujuan berdakwah. Ini terbukti kerana akhir tahun 1990 jumlah asset hanya sekitar RM 89,937.80 termasuk nilai studio RM 30,000.00 manakala jumlah hutang piutang melebihi RM 232,000.00 Perkara ini diaudit oleh En.Zainuddin bin Karman (bekas kakikatangan Jabatan Hasil Dalam Negeri, Kuala Lumpur)

          Di akhir tahun 1992 OVA Productions masih gagal menstabilkan pengurusan operasinya, sekalipun pengurusan OVA Productions di’arah’ untuk bertukar tangan dari Syukbah Dakwah kepada Syukbah Penerangan kemudiannya kepada Syukbah Kebudayaan, masih juga belum memperlihatkan tanda-tanda syarikat boleh ‘merasa lega’. Dalam pada itu keluar masuk penama-penama baru seperti En.Ahmad Izhar bin Mohamed Noor, En.Zainuddin bin Karman dan En.Ab.Wahab bin Md Yusof juga masih gagal memulihkan OVA Productions sepenuhnya, lebih-lebih lagi tetakala itu beberapa prosedur  jamaah Al Arqam yang perlu ditangani bersama, menyebabkan pengaliran wang keluar sukar dikawal, sebagai contoh

          1.       OVA Productions dimestikan melantik OVA Marketing (Syukbah Dakwahsahaja sebagai Pengedar Tunggal untuk memasarkan kaset

          2.       Pembubaran OVA Productions menyebabkan pembahagian asset kepada 3 pihak iaitu selain OVA Productions sendiri, OVA Marketing dan Tele Video Al Arqam (unit Minda)

          3.       Kemestian melabur di akaun Ekonomi Arqam, Pembinaan Mussolla baru, akaun Wadiah Mal, pelaburan luar negeri, penghantaran pendakwah keluar negara, program baiah, sumbangan madinah, sumbangan program-program jamaah dan sebagainya.

Selain perkara diatas faktor pengharaman Arqam oleh pihak kerajaan pada Ogos 1994 juga memberi kesan sampingan terhadap perniagaan OVA Productions. Pada masa yang sama ura-ura dari pihak Karya One Sdn.Bhd. untuk mengambil alih OVA Productions.

Memandangkan kedudukan syarikat  yang tidak stabil menyebabkan 2 ahli kongsi ketika itu En.Zainuddin bin Karman dan En.Ab.Wahab bin Md.Yusof mengambil keputusan menutup terus OVA Productions pada 19 hb.Mei 1995 dengan menyerah segala urusniaga, asset, penerbitan, hutang piutang, kontrak-kontrak artis, hakcipta dan copyright semua produksi dan hasil-hasil penerbitan album yang dikeluarkan mulai 1986 hingga April 1995 kepada OVA Productions Sdn.Bhd.